PAKAIAN TRADISIONAL SABAH
Penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai suku kaum. Di antaranya adalah Kadazandusun, Bajau, Murut, Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan lain-lain.
Penggunaan pakaian-pakaian tradisional mereka boleh dilihat dari dua sudut zaman iaitu zaman klasik dan zaman moden. Di zaman klasik, pakaian-pakaian tradisional ini dipakai semasa uparaca-upacara ritual, hari perkahwinan dan sebagai pakaian seharian. Di zaman moden pula pakaian-pakaian tradisional ini hanya dipakai untuk tujuan-tujuan yang tertentu seperti di hari perkahwinan oleh pengantin lelaki dan perempuan serta untuk acara-acara kebudayaan.
Kebanyakan suku kaum di Sabah memilih hitam sebagai warna pakaian traditional mereka.Oleh itu,penggunaan warna hitam asalnya daripada kepercayaan bahawa warna hitam adalah lambang kekuasaan atau warna ketuhanan yang mana dapat melindungi si pemakai daripada makhluk-makhluk halus yang jahat. Sesetengah pihak mengatakan bahawa penggunaan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan semulajadi di waktu itu.
Pada masa lalu, batu akik merah, manik-manik kaca berwarna, kulit kowri, butang putih atau cakera yang dibuat daripada cengkerang dan tembaga digunakan untuk menghiasi pakaian lelaki dan perempuan. Pada hari ini, kebanyakan hiasan-hiasan ini diganti dengan manik-manik plastik dan bahan moden yang lain seperti benang emas dan perak, labuci dan benang berwarna. Seperti dahulu, hiasan-hiasan ini masih lagi disertai dengan tali pinggang yang dibuat daripada berbagai-bagai bahan seperti manik cengkerang dan kaca duit syiling perak, tembaga dan logam-logam lain, lapik pinggang yang dibuat daripada rotan berwarna untuk mengetatkan gaun, seluar atau anak baju. Kalung dibuat daripada berbagai-bagai bahan dijadikan hiasan leher dan dada. Gelang juga dipakai untuk menghiasi lengan, pergelangan tangan serta kaki.
Tutup kepala seperti terendak atau tudung dipakai oleh kaum lelaki dan wanita sebagai pakaian biasa sebagai pelindung dan penahan peluh. Pada majlis-majlis upacara, terendak-terendak yang dipakai adalah lebih indah dan berwarna-warni. Spesialis ritual memakai tutup kepala dan pakaian dengan hiasan yang banyak yang membezakan mereka dari orang biasa apabila mereka menjalankan sesuatu upacara tradisional. Kaum lelaki masih memakai sigah sejak dari dahulu lagi. Sigah atau tanjak ini adalah sekeping kain segi empat yang dipakai dalam berbagai-bagai bentuk mengikut daerah atau asal si pemakai. Kaum wanita pula memakai manik, sisir, tudung dan terendak bergantung pada waktu dan kegiatan yang dilakukan.
Oleh:Mohd Zaimie Bin Md Zaid 206407
Good work..keep it up
BalasPadamterima kasih... lawat lah selalu..
BalasPadamtolong saya berikan nama nama pakaian kaum masyarakat sabah
BalasPadam